KETERUJAAN peminat menantikan karya terbaharu Marvel Studios "Black Widow" kembali memuncak dengan pelancaran trailer terbaharu filem itu pada Sabtu.

Lebih mengujakan, trailer berkenaan turut memberikan petunjuk bagi jalan cerita filem spin-off solo anggota wanita Avengers itu.

Di dalam trailer itu menunjukkan Natasha Romanoff ‘kembali’ ke masa lalu bagi mengimbas semula bagaimana dia mula berdepan dengan sejarah hidupnya untuk mendepani ancaman di masa depan.

Dengan latar waktu selepas peristiwa "Captain America: Civil War", trailer ini menunjukkan bagaimana Romanoff menyelesaikan “masalah” yang dihadapinya di masa lalu, di mana dia harus kembali ke tempat “di mana semuanya bermula”.

"Kamu tidak tahu segalanya tentang saya, saya telah berdepan dengan banyak kehidupan di masa lampau," kata Romanoff dalam trailer terbaharu itu.

Black Widow dibintangi Scarlett Johansson, Florence Pugh, Rachel Weisz, David Harbour and O-T Fagbenle.

Ia diarahkan oleh Cate Shortland, dengan jalan cerita dari Jac Schaeffer (WandaVision) and Ned Benson (The Disappearance of Eleanor Rigby), dan lakon layar ditulis Eric Pearson (Thor: Ragnarok).

Ia dijangka menemui peminat pada 9 Julai 2021, dan akan ditayangkan serentak di panggung wayang serta platform penstriman Disney+.

Terdahulu, Black Widow turut menerima nasib yang sama apabila terpaksa menunda tayangan yang dijadualkan pada 7 Mei 2021, ekoran pandemik COVID-19.